KUCHING: Penyanyi dan pemain sape terkenal Alena Murang akan melancarkan pameran lukisan solo pertamanya ‘Colours of the Highlands’ di La Promenade Mall di sini pada 18 Mac yang akan diadakan hingga 30 April 2023.
‘WHEN I BREATHE’: Lukisan potret diri oleh Alena Murang. Akrilik, lukisan kapur dan arang atas kanvas. Siap 2023.
Pertunjukan solo itu akan mempamerkan hampir 50 lukisan menakjubkan yang tidak pernah dilihat sebelum ini – semuanya karya Alena – di Galeri Hoan pada aras tiga gedung beli-belah berkenaan.
Kemasukan ke pertunjukan itu adalah percuma, dan semua lukisan adalah untuk dijual, dengan harga daripada RM1,000 hingga lebih RM25,000.
Bagi pemuzik Kelabit itu, yang pernah memenangi anugerah dan membuat persembahan konsert di seluruh dunia, melukis merupakan minat utamanya yang pertama.
‘RANERA’: Salah satu lukisan di pameran itu dalam kategori ‘arit’ atau pusaran. Akrilik atas kanvas. Siap 2022.
“Ibu saya memanfaatkan minat saya terhadap lukisan pada usia muda, menggalakkan saya untuk melakar, mewarna, membuat kolaj, menyulam dan melukis,” kata Alena.
Bagi ‘Colours of the Highlands’, Alena cuba “mencurahkan kisah-kisah kontemporari Kelabit ke atas kanvas”, katanya, dan menggambarkan karyanya sebagai “usaha sukacita untuk menuntut balik” warisan Kelabit menerusi ingatan.
Pameran di Galeri Hoan, La Promenade Mall, itu akan menunjukkan lukisan-lukisan yang dihasilkan oleh Alena sejak sedekad lalu, termasuk lukisan potret dan lukisan abstrak.
Beberapa lukisan Alena dibuat berdasarkan reka bentuk tradisional Kelabit yang kelihatan sepert pusaran lingkungan besar. Pusaran ini (arit dalam bahasa Kelabit), yang Alena pertama kali lihat dalam gambar-gambar hitam putih lama, pada masa lalu diukir pada batu dan kayu, tetapi amat jarang sekali digunakan oleh masyarakat Kelabit sekarang.
“‘Colours of the Highlands’ berjaya melepasi rintangan masa yang menyelubungi gambaran peribumi dan membolehkan kita untuk melihat kebudayaan Kelabit dengan mata baharu,” kata seorang pembuat filem muda berbangsa Kelabit yang berpangkalan di UK, Sarah Lois Dorai.
“Koleksinya memaksa kita untuk meroboh persepsi tradisional kita tentang pemeliharaan budaya dan membinanya semula kepada dunia kebangkitan budaya. Tidak seperti pemeliharaan, kebangkitan biasanya melibatkan pengenalan sesuatu yang baharu ke dalam adunan, yang telah dibuat dengan bagus oleh Alena menerusi penggunaan mainan warna.”
Pemilik Galeri Hoan, Hoan Kee Huang, berkata, “Semua kita mengenali Alena sebagai seorang pemuzik yang berbakat – vokal dan permainan sapenya telah memberi suara kepada Sarawak di atas pentas dunia.
“Apa yang kebanyakan kita tidak tahu ialah beliau adalah seorang pelukis yang begitu berbakat. Saya amat kagum dengan apa yang saya lihat, daripada lukisan potret yang rumit hingga kepada lukisan abstrak dan flora cantik. Selama enam minggu, Galeri Hoan akan menjadi galeri Alena.”
Beberapa lukisan gergasi masih dirahsiakan. Pratonton media bagi lukisan terpilih akan diadakan bermula pada minggu depan.
‘THE STORYTELLER’: Kemuncak bagi pertunjukan solo Alena yang akan diadakan di La Promenade Mall. Sebuah lukisan gergasi berukuran lebih dua meter. Akrilik, kapur dan arang atas kanvas, dengan rakaman audio. Siap 2017.
“Lukisan tiga panel bertajuk ‘The Storyteller’ adalah satu yang wajar dilihat. Ia diiringi satu rakaman audio, yang memberi pemahaman kepada proses bagaimana Alena menerima lagu-lagu daripada warga emas di kampungnya. Ia memukau, emosional dan tidak lapuk dek zaman. Itu adalah Alena yang tulen. Kesenian sedemikian menuntut perhatian anda sepenuhnya,” kata Hoan.
Sambil menjauhkan diri daripada kesenian Borneo yang digambarkan dengan ciri eksotik yang keterlaluan, Alena mahu ‘Colours of the Highlands’ mencetuskan perbualan yang berpijak pada bumi nyata tentang warisan kontemporari.
Pameran itu akan dibuka pada 18 Mac, jam 7.00 malam.
Untuk maklumat lanjut, layarlah hoangallery.com atau lapromenademall.com.my.