Jika suku kedua tahun 2021 dibandingkan dengan suku pertama tahun 2021, keuntungan sebelum cukai sebanyak RM12.23 juta daripada hasil pendapatan sebanyak RM159.5 juta adalah lebih tinggi pada suku pertama tahun 2021.
Momentum yang meningkat pada suku pertama tahun 2021 sekali lagi diganggu oleh jumlah kes COVID-19 yang tinggi. Sarawak sedang mengalami gelombang baharu dengan jumlah kes harian yang tinggi sejak awal Julai lalu. Pada 12 September lepas, Sarawak mencatatkan 5,291 kes positif, jumlah tertinggi di seluruh negara.
Jumlah jangkitan tinggi masih menjadi satu cabaran besar kepada usaha untuk membuka semula ekonomi dan membolehkan operasi perniagaan dijalankan tanpa gangguan. Ia telah menyebabkan keadaan yang begitu tidak menentu, kesukaran lojistik, dan terutama sekali, masalah sumber manusia.
Pengarah Urusan Datuk Paul Yu Chee Hoe berkata situasi ini telah memberi impak yang besar kepada jadual waktu dan produktiviti dalam sektor pembinaan.
“Selain keadaan cuaca yang luar biasa tidak menentu pada tahun ini, situasi kes harian COVID yang tinggi dan berterusan di Sarawak menghambat kerja di tapak. Kes tinggi ini menjejaskan keyakinan majikan dan pekerja,” kata Yu.
“Terdapat kesan rentetan, satu reaksi rantaian. Bekalan terjejas. Pengangkutan antara negeri dan dalam negeri menjadi isu-isu harian, yang menimbulkan keperluan bagi pelanjutan masa. Ini meningkatkan kosdan mengetatkan margin keuntungan.”
Pengarah Urusan itu juga berkata jumlah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dapat menjalankan kerja bersama mereka kini semakin berkurangan.
“Sekarang sudah lebih kurang 20 bulan sejak pandemik bermula. Banyak PKS sudah tutup. Jumlah subkontraktor dan pakar semakin terbatas untuk dipilih berbanding lima atau 10 tahun lalu,” ujar Yu.
Menurutnya, seperti industri lain yang memerlukan ramai buruh, terdapat kekurangan tenaga kerja konsisten yang serius. Dengan penutupan sempadan serta kekangan prosedur yang memakan masa, isu itu dijangka tidak akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Harga komoditi tinggi juga terus memberi impak kepada industri. Yu berkata harga besi seperti aluminium masih tinggi. Pengeluar besar termasuk Malaysia Smelting Corp. Bhd beroperasi di bawah kapasiti sepenuhnya disebabkan oleh langkah keselamatan dan kawalan pergerakan.
Demikian juga HSL bekerja dengan mematuhi ketat Prosedur Operasi Selamat, dan tidak dapat mengekalkan tahap aktiviti perniagaan seperti pada tahun-tahun sebelum pandemik.
“Pada masa depan yang terdekat, kerja perlu dijalankan di tengah-tengah keadaan yang mencabar,” kata Yu.
Cabaran HSL adalah untuk berusaha menambah buku tempahannya secara berterusan, dan pada waktu yang sama mengurus kerja-kerja yang sedia ada dengan secekap mungkin dalam keadaan sekarang.
Projek meganya termasuk Miri Wastewater hampir siap, manakala Pakej Kerja Tujuh Lebuh Raya Pan Borneo sudah dua pertiga siap.
Dalam segmen hartanah, HSL akan terus memberi fokus kepada harga berpatutan, dengan memberi keutamaan kepada Samariang Aman 3 yang dilancarkan pada pertengahan tahun lepas, di mana lebih separuh unit merupakan rumah-rumah setingkat yang tidak mahal.
HSL juga akan meneruskan kempen Sewa-Untuk-Milik atau ‘Rent-To-Own’ (RTO) bagi Taman Perindustrian Vista, yang terdiri daripada lot-lot perindustrian dua tingkat berkembar dan terpisah berhampiran Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya.
Di La Promenade Mall, sebahagian daripada 200 komuniti berpagar mewah HSL yang utama, semua penghuni ada dalam platform penghantaran makanan dan menggunakan platform e-dompet sebagai standard pada waktu orang ramai tidak dibenarkan makan di kedai.
Kedudukan kewangan berkenaan dilaporkan ekoran Mesyuarat Agung Tahunan Ke-40 Kumpulan di Menara HSL di Kuching.
Mesyuarat agung tersebut pada asalnya dijadualkan pada 18 Jun lalu tetapi ditunda ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Di mesyuarat itu, semua ketetapan diluluskan oleh para pemegang saham dan para pengarah yang dipilih semula selepas mereka berundur menurut giliran.
Ia dilihat sebagai tanda keyakinan terhadap keupayaan lembaga pengarah sekarang untuk memimpin syarikat pada waktu pandemik sekarang.