KUCHING: Keputusan untuk Langit – pertandingan seni bina pertama di Sarawak untuk mencari idea terbaik bagi sebuah bangunan pencakar langit di pusat bandar raya Kuching – akan diumumkan pada Sabtu ini, jam 10.00 pagi.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menjadi tetamu kehormat yang akan mengumumkan pemenang dalam satu majlis yang distrim secara langsung menerusi berbagai platform media sosial.
Arkitek dan orang ramai boleh mengikuti siaran melalui @hslcn dan @unitkomunikasiawamsarawak.
Penganjur pertandingan adalah Hock Seng Lee (HSL), yang berkolaborasi dengan Next Phase (NP), yang merupakan pemilik tanah, dan Pertubuhan Arkitek Malaysia, Cabang Sarawak (PAMSC).
“Ia adalah satu penghormatan yang besar bagi kami kerana YAB Ketua Menteri akan menghadiri majlis pengumuman keputusan. Kami menerima 112 penyertaan bagi pertandingan ini. Jumlah arkitek yang berminat untuk mereka-bentuk sebuah bangunan pencakar langit di Malaysia Timur amat memeranjatkan dan memberi motivasi kepada kami,” kata anggota juri pertandingan Yu Ji, yang merupakan wakil pemaju dari HSL-NP.
Hadiah wang tunai bagi pertandingan ini berjumlah RM200,00.
Lokasi Langit merupakan sebuah tapak yang kompak namun amat baik sekali d Jalan Tabuan, antara pusat bersejarah Kuching a pusat-pusat komersial yan sudah kukuh.
HSL-NP berhasrat sepenuhnya untuk membina salah satu penyertan yang menang.
Pertandingan Langit bermula pada Mac lalu. Penyertaan datang dari seluruh Malaysia. Ada yang merupakan reka bentuk yang dibuat bersama arkitek di seberang laut.
Panel terdiri daripada arkitek-arkitek terkemuka dari Kuching dan Kuala Lumpur, termasuk Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Datuk Ezumi Harzani, bekas pengerusi PAMSC Ivy Jong, pengarah Veritas Architects Lilian Tay, pemenang pelbagai anugerah PAM dan aktivis pemuliharaan, Mike Boon, dan Yu Ji.
Kriteria pengadilan tertumpu kepada ruang awam, kemesraan alam dan kebolehlaksanaan.
Dalam maklumat reka bentuk HSL-NP, kawasan lantai dihadkan kepada 30,000 meter persegi, untuk memastikan penyertaan reka bentuk dapat dibina dengan kebesaran yang realistik bagi sebuah bandar raya dengan penduduk tidak sampai sejuta orang
“Proses memberi mata dan pertimbangan dibuat secara sulit dari awal hingga akhir,” jelas konvenor pertandingan Chai Si Yong, yang merupakan Pengerusi PAM Sarawak.
“Ia adalah penting bagi pemaju-pelanggan bahawa identiti mereka yang mengemukakan penyertaan tidak pernah didedahkan. Pengadilan dibuat berdasarkan idea semata-mata dan dipacu oleh merit. Sebagai konvenor, kami malah tidak memberitahu berapa banyak yang dibuat oleh arkitek dari dalam mahupun luar Sarawak. Pengumuman keputusan dijangka agak mengujakan bagi golongan profesional di seluruh Malaysia.”
Jong, seorang arkitek dari Sarawak yang terkenal dengan reka bentuk alamnya, berkata pertandingan ini merupakan satu model pembangunan yang menyegarkan.
“Buat pertama kali dalam sejarah, arkitek diberi sebuah tapak oleh sebuah pemaju yang kukuh dan terkenal dengan permintaan terbuka dan penekanan kepada menyantuni komuniti. Dengan memulakan dialog bersama komuniti yang lebih umum mengenai apa yang dapat dibina di tapak terpilih itu, pemaju telah menunjukkan keinginan mereka untuk membuat bangunan yang dipacu oleh orang ramai, sesuatu yang dialu-alukan,” kata Jong.
Majlis mengumumkan keputusan akan diadakan di Menara HSL La Promenade, iaitu komuniti berpagar utama pemaju seluas 200 ekar.
Untuk maklumat lanjut, sila layari langitkch.com, hsl.com.my atau cari #LangitKch dan @hslcn dalam media sosial.