KUCHING: Dua arkitek dari Sarawak, Jascinta Yii dan Alan Kueh, yang masing-masing menjadi pengamal seni bina di Kuching dan Melbourne, telah memenangi Pertandingan Seni Bina Langit.
Penyertaan bersama Yii dan Kueh merupakan sebuah bangunan komersial pelbagai kegunaan setinggi 18 tingkat. Mesra alam dengan bahagian depan bangunan berwarna hijau, saranannya termasuk ruang awam, pejabat, pangsapuri, tapak semaian tumbuh-tumbuhan – semuanya direka dengan mengambil kira kehidupan berbagai generasi.
Para hakim menganggap penyertaan itu sebagai “penuh impak, yang menyediakan unit-unit tempat tinggal dan kerja berbagai generasi dengan kepadatan tinggi namun boleh diubahsuai”. Ia juga dipuji kerana memupuk idea-idea tentang kehidupan lestari dengan pertanian bandar sebagai satu ciri.
Langit merupakan pertandingan seni bina kebangsaan yang julung kali diadakan di Sarawak.
Hock Seng Lee, dalam kerjasama dengan Next Phase (HSL-NP), berhasrat untuk membina salah satu penyertaan yang menang.
Tapak projek berkenaan mempunyai keluasan 0.78 ekar yang padat di sebuah lokasi strategik di dalam daerah perniagaan utama di Kuching.
Pertandingan itu menarik 112 penyertaan dari seluruh negara sejak Mac 2021.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan keputusan pertandingan tersebut di Menara HSL di sini pada Sabtu.
“Kerajaan Sarawak menjalin hubungan yang erat dengan para arkitek. Ini jelas kelihatan dalam perancangan bandar, taman awam dan bangunan institusi kita. Di Sarawak, kita tahu bandar raya dibina untuk rakyat dan rakyat membina bandar raya yang bagus. Kita tahu pelan pembangunan mesti bermula daripada peringkat manusia,” kata Johari.
“Rakan-rakan saya di HSL-NP menamakan pertandingan ini Langit kerana dalam Bahasa Sarawak, ‘Lang’ bermaksud pintu, dan dalam bahasa Melayu, Langit adalah langit. Kita mahu sama-sama mencapai kejayaan yang lebih tinggi. Saya harap Langit akan menjadi prototaip, bukan sahaja bagi sebuah bangunan baharu, tetapi bagi cara baharu untuk memikirkan tentang pembangunan.”
Tempat kedua dimenangi Just Architecture, tempat ketiga diduduki MOA Architects, dan sebutan kehormat bagi UT Moh Architect dan Arkitek LH Wong. Reka bentuk mereka berupa ladang menegak futuristik sehingga bangunan pencakar langit setinggi 39 tingkat.
Setiap skim mempunyai kekuatan yang berlainan dan membawa mesej yang berbeza.
Contohnya, pemenang tempat ketiga merupakan menara berkembar yang unik dan direka dengan menggunakan sistem nisbah petak (plot-ratio system). Kaedah perancangan ini adalah sama dengan kaedah yang digunakan di kota mega serantau seperti Kuala Lumpur, Singapura dan Bangkok.
Sistem nisbah petak membolehkan penyertaan MOA Architects untuk mendapatkan ruang awam yang besar dan bermakna di aras bawah.
Hadiah wang tunai untuk lima penyertaan terbaik berjumlah RM200,000.
Proses penilaian dibuat secara sulit. Anggota juri terdiri daripada Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Datuk Ezumi Harzani, bekas pengerusi PAM Sarawak Ivy Jong, pengarah Veritas Architects Lilian Tay, pemenang pelbagai anugerah dan aktivis pemuliharaan Mike Boon, serta wakil syarikat pemaju HSL-NP, Yu Ji.
“Kebanyakan idea reka bentuk mencabar jangkaan konvensional dan menunjukkan pendekatan yang menyegarkan dalam peletakan tempat dalam konteks Kuching. Majoriti penyertaan mempamerkan komitmen yang jelas kepada kelestarian sosial dan alam sekitar,” kata Jong, yang menjadi pengerusi juri.
“Skim yang disenarai pendek mengemukakan berbagai aspek pemikiran idea reka bentuk dan juri kagum dengan kreativiti, pendekatan dan pemikiran yang ditunjukkan.”
Pada 2021, hanya dua sahaja pertandingan seni bina telah diadakan di seluruh Malaysia. Pertandingan pertama adalah bagi bahagian depan sebuah stesen kereta api antara Johor dan Singapura. Pertandingan tersebut, di mana Sultan Johor menjadi penaung, berakhir pada Februari lalu.
Langit pula bermula pada Mac. Peserta terdiri daripada beberapa syarikat terkemuka di Malaysia, termasuk TR Hamzah & Yeang, Design Network Architects, Dr Tan LM dan Form Zero – semua pemenang anugerah reka bentuk kebangsaan.
HSL-NP merupakan pemilik tanah tapak projek dan penaja pertandingan.
Ibu pejabat HSL sekarang adalah pejabat binaan swasta pertama yang menerima pensijilan Indeks Bangunan Hijau di Sarawak. Terletak di La Promenade dengan keluasan kawasan 200 ekar, ia merupakan satu-satunya pembangunan di Sarawak yang memenangi tiga jenis anugerah daripada syarikat pemaju, syarikat landskap dan pertubuhan arkitek.
Untuk maklumat lanjut, sila layari langitkch.com, hsl.com.my atau cari #LangitKch dan @hslcn dalam media sosial.
Pertama – Yii K.E Architect, Jascinta Yii & Alan Kueh
Kedua – Just Architecture, Lee Shyan Luen & Justin Lee
Ketiga – MOA Architects, Hung Sing Ing
Sebutan kehormat
UT Moh Architect – Moh Ung Tai
Arkitek LH Wong – Wong Leong Hong