HSL TOWER MENYASARI PENSIJILAN BANGUNAN HIJAU
Published date:
KUCHING: Hock Seng Lee Bhd (HSL) dengan bangganya mengumumkan bahawa ibu pejabatnya yang baharu akan mendapat pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).
Bangunan tersebut, yang akan dikenali sebagai HSL Tower (Menara HSL), bakal merupakan satu daripada lapan buah bangunan dengan penarafan GBI dan pejabat GBI swasta pertama di Sarawak.
HSL Tower setinggi 10 tingkat itu dibahagikan kepada tiga bahagian. Enam tingkat teratas akan menjadi ibu pejabat baharu HSL yang meletakkan pusat pentadbirannya antara pusat bandar raya dengan Samarahan yang sedang pesat berkembang.
Aras atau tingkat empat direka sebagai bilik-bilik pejabat untuk tujuan sewaan jangka panjang, manakala aras satu hingga aras tiga menempatkan La Promenade Mall, sebuah pusat beli belah berorientasikan perkhidmatan bagi pasar raya bertaraf tinggi, perbankan premium, farmasi dan restoran.
Keluasan pejabat-pejabat HSL di aras 5 hingga aras 10 adalah 7,623 meter persegi. Pensijilan GBI bermakna HSL Tower dianggarkan dapat menjimatkan lagi 20% tenaga.
“HSL Tower akan menjadi contoh yang mengetengahkan asal usul kami sebagai sebuah syarikat pembinaan dengan kepakaran dalam kaedah-kaedah yang maju. Ia menjadi petunjuk bagi hala tuju dan matlamat kami sebagai sebuah syarikat yang inovatif. Teknologi akan dikekalkan sebagai panduan kami pada masa depan demi kesejahteraan Sarawak, ” kata Pengarah Urusan, Datuk Paul Yu Chee Hoe.
Yu mengatakan bahawa reka bentuk HSL Tower bersesuaian dengan slogan syarikat – “ We’re building your future today”
HSL Tower dan pusat beli belah merupakan fokus komersil bagi La Promenade.
Dengan keluasan 200 ekar, sesuku daripadanya digunakan khas sebagai zon komersil – yang berhadapan dengan Lebuh Raya Kuching-Samarahan – manakala baki 150 ekar lagi yang melewati sebuah tasik yang disalurkan oleh Sungai Sarawak, adalah untuk rumah-rumah premium yang berpagar dan dijaga oleh pengawal keselamatan.
“Selain GBI, HSL Tower akan dihiasi dengan kehijauan. Teres di sekitar aras lima, aras sembilan dan aras sepuluh akan dipenuhi tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok. Teres ini merangkumi 25% daripada kawasan lantai keseluruhan. Ia mewujudkan persekitaran pejabat yang menyenangkan. Perimeter lantai bawah akan dihiasi pokok. Kawasan tanah di sepanjang lebuh raya akan sentiasa diperindahkan,” kata Yu.
Pengurus Besar, Ling Lai Kiong, menjelaskan bagaimana kaca dinding tirai bangunan HSL Tower yang moden mencapai penjimatan yang maksimum.
“Kami mahu menggunakan cahaya semula jadi di dalam bangunan kami dan pada waktu yang sama mencegah peningkatan kepanasan. Untuk melakukan ini, kami menggunakan kaca ‘low-e’ khas, yang membataskan pemindahan haba. Hasilnya, kami dapat mengurangkan pencahayaan dalaman dan penggunaan alat hawa dingin,” kata Ling.
Sensor yang dipasang dalam bangunan juga akan mengoptimumkan penggunaan tenaga, manakala tiub kaca cahaya di tingkat bawah akan membolehkan cahaya menyinari tempat letak kereta di tingkat bawah tanah.
Pengurusan bangunan juga telah merangka pelan untuk memupuk nilai-nilai “kurangkan, gunakan semula dan kitar semula” ke dalam aliran kerjanya.
“Kami akan melibatkan diri dengan pelanggan, peruncit dan penduduk menerusi aktiviti ‘Minggu Hijau’ kami, di mana kami mengumpul barang sumbangan bagi amal kebajikan dan untuk dikitar semula,” kata Pengurus Hal Ehwal Korporat, Shirley Loo.
Pensijilan GBI merupakan anugerah yang terbaharu dalam senarai anugerah bagi perancangan dan reka bentuk HSL. Pada April lalu, La Promenade memenangi hadiah merit di Majlis Anugerah Seni Bina Landskap Malaysia.
HSL merupakan syarikat pertama dari Sarawak yang menang dalam bidang berkenaan yang didominasi syarikat-syarikat pemaju dari Semenanjung Malaysia. Pemenang pada masa lalu termasuk UEM Sunrise, Gamuda Land, SP Setia dan Setia Eco Glades.
Hakim-hakim landskap memuji La Promenade kerana memperuntukkan 15% daripada tanah pembangunan bagi ruang yang boleh digunakan, hijau dan terbuka – jauh mengatasi garis panduan kerajaan sebanyak 10%.
“HSL berkembang maju di atas perancangan jangka panjang, sama ada bangunan GBI atau pelan induk berlandskap. Mencuba sesuatu yang baharu atau melakukan sesuatu yang lebih daripada jangkaan sememangnya mencabar dan sukar, tetapi setakat ini, segalanya berjalan dengan baik sekali. HSL Tower kami yang baharu bukan sekadar sebuah bangunan baharu, ia adalah satu cara pemikiran baharu,” kata Pengarah Urusan Yu.
Eng Version
中文版