HSL LANCAR PERTANDINGAN SENI BINA PERTAMA DI SARAWAK Pertandingan Untuk Mencari Reka Bentuk Terbaik Bagi Pencakar Langit CBD
Published date:
KUCHING: Hock Seng Lee (HSL), Next Phase dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) telah melancarkan satu pertandingan reka bentuk untuk sebidang tanah perdana dalam daerah perniagaan pusat Kuching.
Tanah tersebut seluas kira-kira seekar, di sepanjang Jalan Tabuan, dan dalam lingkungan 1 km adalah Tebingan Kuching, Padungan dan The Spring Shopping Mall.
Pertandingan ini terbuka kepada semua ahli korporat yang berdaftar dengan PAM, dan hadiah wang tunai berjumlah RM200,000 ditawarkan. Ahli-ahli PAM boleh berkolaborasi dengan arkitek-arkitek asing dan tiada had dikenakan ke atas jumlah penyertaan yang dikemukakan oleh seseorang arkitek.
Hadiah pertama adalah RM100,000, kedua RM50,000, hadiah ketiga RM25,000, dan dua sebutan terpuji.
Pendaftaran dibuka pada 8 Februari dan ditutup pada 19 April.
Keputusan akan diumumkan pada hujung Mei dengan penyampaian hadiah tidak lama kemudian.
Pertandingan reka bentuk anjuran HSL dan PAM Cabang Sarawak ini merupakan yang pertama seumpamanya di Sarawak.
Hakim-hakim termasuk Pengerusi PAM Sarawak Ar Ivy Jong, Presiden PAM Malaysia Datuk Ar Ezumi Harzani Ismail, seorang arkitek terkemuka dari Sarawak, seorang arkitek terkemuka di Malaysia, dan seorang wakil HSL.
Kenyataan ringkas mengenai reka bentuk pertandingan mensyaratkan satu pembangunan komersial, yang boleh jadi kegunaan campuran, kecuali bagi hotel.
Para hakim akan memberi fokus kepada penyantunan komuniti untuk mempertingkatkan lagi orang awam dan para pengguna bangunan, orientasi bangunan yang optimum dan daya maju ekonomi. Kenyataan ringkas berkenaan juga mensyaratkan ruang lantai kasar maksimum seluas 30,000 meter persegi.
“Pertandingan ini merupakan satu ‘pertandingan idea-idea’. Sebidang tanah yang hebat, di sebuah lokasi yang begitu baik, seharusnya ada bangunan yang hebat di atasnya. Sebarang pembangunan komersial juga merupakan peluang untuk menyediakan ruang-ruang awam,” kata Pengurus Besar Pembangunan Hartanah HSL, Tay Chiok Kee.
“Kita mahukan idea-idea terbaik dari awal lagi. Para hakim kita akan meneliti semua penyertaan, dan sebagai pemaju, kita akan membina apa yang terbaik untuk lokasi itu dan untuk warga Kuching.”
Jong, selaku Pengerusi PAM Sarawak, teruja dengan pertandingan reka bentuk itu.
“Pertandingan ini berfikiran ke depan dan signifikan bagi pemaju hartanah dan juga arkitek. Industri yang saya wakili sudah sekian lama menginginkan satu pertandingan. Kita mahu dicabar dan berdaya saing,” katanya.
“HSL akan mendapat faedah yang signifikan daripada memiliki idea-idea paling inovatif dan pelan reka bentuk terbaik. Tetapi, sebenarnya, golongan yang paling mendapat manfaat nanti adalah orang ramai. Orang ramai akan mendapat sebuah ikon seni bina baharu, usaha niaga baharu, peluang pekerjaan baharu dan sebuah ruang awam baharu – semuanya di sebuah lokasi yang dapat diakses dengan mudah oleh semua.”
Pasukan pemasaran HSL telah secara tentatif menamakan projek itu sebagai ‘Langit’ dalam Bahasa Malaysia, manakala dalam Bahasa Sarawak, ‘lang’ bermaksud pintu.
“Ini adalah sebuah projek aspirasi,” kata Timbalan Pengerusi PAM Sarawak, Chai Si Yong, yang merupakan pengarah PDC Design Group.
“Kita berkolaborasi rapat dengan HSL untuk melaksanakan pertandingan pencakar langit ini. HSL mula-mula mengajukan kepada kami tentang satu pertandingan lebih setahun lalu. Sebagai pemaju, HSL diterajui golongan profesional dan pereka bentuk. Kita banyak berbincang mengenai cabaran, matlamat dan idea. Maka itu, ia memang wajar bagi kami untuk sama-sama menganjurkan satu pertandingan,” kata Chai.
Kuching merupakan salah sebuah bandar raya reka bentuk terbaik di Malaysia. Ia adalah sebuah bandar raya yang terkenal kerana memiliki ramai arkitek yang pernah memenangi anugerah selain mempunyai bangunan-bangunan unik. Syarikat-syarikat di Sarawak seperti Design Network Architects, Arkitek KDI, IDC Architects, Pu Architects dan David Ong Architects pernah memenangi pengiktirafan pada peringkat kebangsaan untuk rumah agam berjenama mereka, hotel, pusat konvensyen dan reka bentuk dalaman.
Kuching turut menempatkan bangunan baharu DUN yang ikonik (oleh Hijjas Kasturi), bangunan Old Court House yang dipulihkan semula, Masjid Kuching, Bangunan OCBC, Mahkamah Syariah Sarawak, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Untuk maklumat terkini, sila layari langitkch.com dan pamsc.org.my. Maklumat yang dikemas-kini juga boleh didapati di hsl.com.my dan @hslcn dalam media sosial.
Vista dari tapak Langit di Kuching, Sarawak. Pemandangan Bandaraya Kuching, gunung-ganang dan laut.
Pertandingan seni bina untuk #LangitKch – sebuah pencakar langit komersial – yang terletak di atas sebidang tanah perdana di CBD Kuching. Ia merupakan sebuah tapak yang matang dengan pembangunan komersial termasuk pejabat, kondominium, pusat beli-belah, hotel dan sekolah, semuanya dalam lingkungan satu kilometer.
Pasukan pemasaran HSL telah secara tentatif menamakan projek ini sebagai ‘Langit’ dalam Bahasa Malaysia, manakala dalam Bahasa Sarawak, ‘lang’ bermaksud pintu.