KUCHING: Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) telah mengumumkan ahli-ahli juri bagi Langit, satu pertandingan reka bentuk bagi sebuah bangunan pencakar langit di Kuching.
Juri terdiri daripada tokoh dari semenanjung Malaysia seperti Ar Lilian Tay, yang merupakan Naib Presiden Veritas Design Group, dan arkitek terkemuka dari Sarawak seperti Ar Mike Boon, seorang pakar seni bina hijau dan pemuliharaan yang pernah memenangi banyak anugerah.
Ahli-ahli juri juga terdiri daripada Datuk Ar Ezumi Harzani Ismail, selaku presiden PAM sekarang, Ar Ivy Jong, yang merupakan ketua juri dan pengerusi PAM Sarawak, dan Yu Ji, seorang wakil dari promoter pertandingan, Hock Seng Lee dan Next Phase (NP).
Langit merupakan pertandingan reka bentuk yang julung kali diadakan di Sarawak. Promoternya, HSL-NP, mahu membina sebuah bangunan pencakar langit komersial di atas seekar tanah di pusat bandar raya.
Dalam maklumat tentang reka bentuk, HSL-NP mahukan sebuah bangunan dengan ruang lantai seluas 30,000 meter persegi, dengan penekanan yang diberikan kepada pengguna bangunan dan orang awam.
“Sebarang bangunan komersial juga merupakan peluang untuk mewujudkan lebih banyak ruang awam,” kata pengurus besar pembangunan hartanah HSL, Tay Chiok Kee, yang menambah kata, lokasi tanah berkenaan yang strategik bermakna ia mudah diakses oleh semua orang.
Hadiah wang bagi pertandingan ini mencecah RM200,000, dan penyertaan yang menang akan mendapat RM100,000.
Pendaftaran dan pengajuan pertanyaan bermula pada 8 Februari. Soalan kepada pertanyaan akan dipaparkan pada 19 Mac, manakala tarikh penutupan untuk mengemukakan penyertaan seni bina adalah 19 April. Keputusan dan hadiah akan disampaikan pada hujung Mei.
Penganjur pertandingan PAM Cabang Sarawak memilih juri Langit untuk mencerminkan fungsi awam dan hasrat promoter bagi bangunan pencakar langit berkenaan.
Di bawah adalah ahli-ahli juri dan kepakaran yang mereka akan bawa kepada Langit:
Ar Ivy Jong, Pengarah Atelier Timur Sdn Bhd, Ketua Juri, Pengerusi PAM Sarawak
Ivy merupakan wanita pertama dan Pengerusi PAM Cabang Sarawak sekarang. Sebagai rakan pengasas Atelier Timur Sdn Bhd, beliau telah bekerja di Sarawak sejak beliau kembali dari London pada 1997.
Beliau terlibat dalam pelbagai jenis projek, daripada bangunan institusi hingga kepada projek berasaskan komuniti. Projek-projeknya baru-baru ini termasuk Pusat Pentafsiran Pelawat di Rizab Semulajadi Piasau di Miri, dan Projek Beacon di Taman Negara Samalaju, Bintulu.
Matlamat beliau bagi projek-projek tersebut adalah untuk menyantuni dan mendidik orang ramai tentang pemuliharaan sumber semulajadi. Beliau juga merupakan ahli Majlis Bangunan Hijau Malaysia dan seorang Fasilitator Indeks Bangunan Hijau.
Datuk Ar Ezumi Harzani Ismail, Pengarah Arketek MAA, Presiden PAM
Ezumi merupakan Ahli Lembaga Architects Malaysia dan Lembaga Engineers Malaysia. Sejak 2015, beliau telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi empat tahun berturut-turut. Beliau dipilih semula sebagai presiden PAM bagi tahun 2020/2021.
Beliau merupakan Pengarah Arkitek MAA Sdn Bhd, salah sebuah firma seni bina terbesar dan pemenang pelbagai anugerah termasuk Anugerah Seni Bina PAM, Anugerah Hartanah Asia Pasifik CNBC, Anugerah Kecemerlangan dalam Perancangan MIP, dan Anugerah 10 Arkitek Terkemuka Asia BCI.
Ezumi memegang ijazah Sarjana Muda Perancangan dan Pembinaan Perumahan, dan satu lagi ijazah Sarjana Muda Seni Bina dari Universiti Sains Malaysia. Beliau juga memiliki Sarjana Falsafah (Kajian Dasar) dari Universiti Teknologi Malaysia.
Ar Lilian Tay, Naib Presiden VERITAS Design Group
Lillian merupakan Prinsipal Reka Bentuk Kanan di VERITAS Architects Sdn Bhd, sebuah firma seni bina yang pernah memenangi anugerah dan ditubuhkan pada 1987. VERITAS mempunyai aspirasi untuk mencipta seni bina bertanggungjawab dan tahan yang menaikkan kehidupan dan memberi inspirasi untuk menghargai kebudayaan dan lokasi tempatan.
Sebagai Presiden PAM baru-baru ini, Lillian cuba mempromosikan kepakaran, kemahiran dan bakat para arkitek profesional di Malaysia, yang sudah sekian lama dinilai rendah dan untuk meningkatkan lagi peluang bagi para arkitek kita untuk berkhidmat kepada rakyat dan memberi sumbangan bermakna kepada usaha membina negara bangsa.
Lillian, yang mendapat latihan di Universiti Princeton, Amerika Syarikat, bekerja di KPF, New York, sebelum beliau kembali ke Kuala Lumpur di mana beliau sudah menjadi seorang pengarah di VERITAS sejak 1995.
Projek-projek penting VERITAS termasuk Menara Binjai, Ibu Pejabat DiGi, One Sentral, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Putrajaya Sentral, stesen-stesen KL MRT1, Hotel W, Angsana Penang, Hotel Sinkeh, Star Residences, Oxley Towers dan paling terbaharu, Saloma Link Bridge.
Ar Mike Boon, Prinsipal Arkitek JFN, Bekas Pengerusi PAM Sarawak
Mike merupakan salah seorang arkitek paling berjaya di Sarawak, dengan pengetahuan yang mendalam tentang pelbagai seni bina daripada perumahan massa hingga kepada pemuliharaan bangunan bersejarah. Toyota 3S Centre yang fotogenik di Sibu juga merupakan antara yang pertama memperoleh pensijilan Indeks Bangunan HIjau di Malaysia Timur.
Mike lulus dengan ijazah Sarjana Muda Seni Bina dari Universiti Western Australia pada 1989 dan sejak itu beliau telah bekerja di Kuching.
“Selepas pengalaman selama 30 tahun, kami masih menilai semula peranan kami sebagai arkitek dalam masyarakat. Saya mencari idea yang lebih baik dan kehalusan mutu di tempat ini yang saya panggil kampung halaman.”
Yu Ji, Pengarah Next Phase
Yu Ji merupakan seorang pengarah di Next Phase, sebuah syarikat pemaju hartanah milik keluarga. Sebelum beliau melibatkan diri dalam dunia perniagaan, Ji pernah menjadi seorang wartawan, mula-mula bersama akhbar The Borneo Post selama lima tahun, dan kemudian bersama akhbar The Star selama enam tahun.
Ji mahu Next Phase menjadi sebuah syarikat profesional yang dipacu oleh reka bentuk. Beliau juga ingin melihat hartanah beliau lebih berpatutan berbanding kebanyakan hartanah lain.
Next Phase merupakan cabang daripada Hock Seng Lee (HSL), sebuah syarikat pakar pembinaan pelbagai disiplin di Sarawak. Hartanah HSL pernah memenangi banyak anugerah hartanah – dari Pertubuhan Arkitek Malaysia, Institut Arkitek Landskap Malaysia, dan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak.
Next Phase dan HSL beroperasi dari ibu pejabatnya sendiri yang mempunyai pensijilan Indeks Bangunan Hijau di La Promenade.